Lawatan Sambil Belajar ke Kuala Penyu, Kota Klias dan Sipitang

Kita bergambar sebelum pergi tanam pokok getah, hee.. bukanlah.. Ini rombongan untuk lawatan sambil belajar ke Kuala Penyu, Kota Klias dan Sipitang. 2 hari dan satu malam, sempatkah? boleh sebab tempat-tempat yang dilawati berdekatan sahaja. Kalau tengok latar dan suasana tempat ni mesti semua setuju, tempat ni sangat cantik. Apapun kita bergambar dulu..



Inilah Tempurung Seaside Resort, cantik dan saujana mata memandang. Kenapa ada khemah? sebab murid dan guru lelaki kena tidur dalam khemah tapi guru dan murid perempuan tidur di chalet atau rumah tumpangan yang disediakan. Yalah, sebab lelaki kan lasak.. tapi last2 semua lelaki tidur di restoran, bukan apa tapi bahaya hujan dan terlalu sejuk dekat pantai, hee..








Dorang ni mungkin ada rumah terbuka, ketua yang berdiri paling kiri, hee.. Ini suasana dalam ruang tamu chalet di atas bukit. Murid lelaki kamu rasa saja bolehla, malam ni tidur tempat lain. Kamu tengok kerusi tu cantik kan? murid-murid semua kita balik sekolah nanti terus cari bambu, buat kerusi macam tu. Masa ni semua masih terpinga-pinga dan kagum dengan tempat penginapan, bukan selalu ada peluang macam ni kan..





Sedap, sedap dan sedap. Bukan setakat tempat dan layanan yang bagus, tapi makanan yang disediakan juga menyelerakan. Biasanya murid-murid akan buat perbandingan dengan tempat lain sebelum ni, sebab kira cerewet juga dorang nih.. tapi di sini memang dorang puji. Wah, kalau kamu komen saja nanti kamu bayar sendiri k. Sambil makan tengok laut, satu pinggan nasi pun boleh 30 minit baru boleh habis.


Aduh, siapa yang kena kubur? bukanlah.. semua murid membuat istana pasir mengikut kumpulan masing-masing. Tapi ada juga yang buat penyu gergasi, kubu Mat Salleh dan lombong bijih timah. Dari mana idea dorang, cikgu pun tak tau. Semua enjoy aktiviti ni, tambah lagi ada beberapa guru dan murid yang sengaja kacau istana, lagilah seronok. Macam-macam rekaan yang dorang buat, sampai ada yang sukar difahami. Contohnya dorang buat tembok rumah tapi macam paip besi pun ada.. suka hati kamulah, yang penting kita semua enjoy..


Ini pula gambar-gambar hasil kreativiti mereka. Selain ni ada juga yang buat istana sendiri-sendiri, tidak mau ikut kawan-kawan yang lain. Lepas kamu buat, cikgu rosakkan dan kamu buat lagi k, hee.. Siapa yang marah nanti cikgu masukkan pasir dalam poket.







Wah, apa yang terjadi nih, kenapa kecoh-kecoh? Oh, Cikgu Azlianah mau kacau istana kamu.. Ya, halang dia, jangan biarkan dia sentuh. Semua murid geram bila ada guru dan PPM yang mensabotaj istana dorang. Tidak apa, lepas ni kamu buat lagi..







Kamu mau jadi ahli bomba? Oh, kira-kira jam 3 petang kami bertolak ke Kota Klias untuk melihat pusat pemeliharaan monyet. Bukan setakat monyet biasa tetapi jenis yang susah ditemui dan hampir pupus, nama pun tak ingat. Ada yang firstime naik bot, nasib baik tak pening atau jatuh dalam sungai. Kalau jatuh, kamu jadi kawan dengan buaya k. Di sini, selain melihat bermacam spesies monyet, kami juga melihat biawak, burung belatuk dan nelayan yang menangkap udang. Kami pulang sekejap di taman pengurusan untuk makan malam, seterusnya kembali ke tempat ini lagi untuk melihat kelip-kelip malam. Sangat cantik, tapi siapa yang rabun memang rugi. Kononnya ada bot lain yang terserempak dengan anak buaya, tapi kami terlepas peluang untuk melihat lebih dekat.



Lawatan Sambil Belajar ke KFC Tanjung Aru dan Sukaneka di Tanjung Aru Beach 2


Mari main pasir, wah.. jangan sekali-kali k. Hari Rabu, 28 Oktober 2009 kami semua melawat KFC Tanjung Aru. Seterusnya kami menuju ke Tanjung Aru Beach 2 untuk aktiviti sukaneka. Minggu ni jadual Pendidikan Khas penuh!!.. Penat semua tu letak di tepi, yang penting kita enjoy dan gembira dengan aktiviti yang telah dirancang. Dalam gambar tu semua bergambar kenangan sebelum aktiviti dimulakan.


Kita patah balik, di sini adalah KFC Tanjung Aru. Ramai individu Pekak turut bekerja di tempat ini. Sehinggakan Pengurusnya juga kini mahir menggunakan Bahasa Isyarat. Kelihatan Cikgu Ling Fong sedang menyampaikan ucapan berterima kasih kepada pihak pengurusan KFC. Di sini kami berpeluang melihat pekerja menyediakan ayam goreng dan kentang dari peringkat awal sehinggalah akan dihidangkan. Kalau kami datang makan boleh dapat diskaun? oh itu kena tanya dengan bos. Murid-murid yang berminat, selepas habis sekolah bolehlah memohon untuk bekerja di sini.





Kita kembali ke pantai. Kamu lari ni mungkin kena kejar dengan ketam atau penyu kan? Ketika ini semua kumpulan terlibat dengan aktiviti sukaneka mengikut subjek. Contohnya subjek Geografi, tangan semua ahli kumpulan akan diikat dan mereka akan mengikut arahan dari kertas yang diberikan. Kenapa muka macam kena conteng? sebab guru yang ditemui akan mendenda dengan menconteng pada muka mereka sama macam badut di sarkas. Bestnya masa ni guru boleh lari sambil dikejar oleh murid, hee..






Hati-hati, bila belon tu pecah ada sotong di dalamnya, hee.. cikgu tengok yang lain 20 kali tiup tapi belon baru macam buah kelapa, mungkin kamu tiup pakai hidung. Ini adalah akitiviti subjek Sains. Selepas belon tu pecah, murid akan mengisi air dalam gelas dengan menggunakan straw. Tengok Ilman, dia buat macam tiup tayar kereta, wah hebatlah kamu..








Cikgu Fatly belanja makan KFC? lepas ni kita pergi makan seafood di Windbell. Semua berehat untuk makan tengahari dan terima kasih kepada KFC kerana sudi menyumbangkan makanan yang lazat dan menyelerakan. Makan di tepi pantai rasanya macam tak kenyang, mau tambah lagi? boleh tapi kena tolong bersihkan tempat ni sebelum pulang. Cantik muka kamu kena conteng, cikgu pun susah mau kenal. Lepas makan buat apa, tidur? cikgu buang kamu di laut. Kita kena teruskan aktiviti, lagi seronok lepas ni..








Selepas makan dan berehat, aktiviti diteruskan dengan subjek Pendidikan Seni. Setiap ahli kumpulan harus bergilir-gilir melukis pada kertas yang disediakan dan masa yang disediakan adalah 5 saat seorang. Apa yang sempat kamu lukis? conteng sajalah, mungkin last sekali jadi macam lembu, lori ataupun pokok pisang. Cikgu tengok ada yang lukis cantik, bila kawan sambung lukis terus jadi hodoh. Last sekali cikgu tengok semua lukisan susah difahami, ada yang macam ribut dan ada juga macam itik yang kena cabut bulu.





Kamu ada cara baru mengurut? Ini sebenarnya aktiviti Pendidikan Sivik, "Passing Message". Pelajar pertama diberikan sekeping gambar, dia akan melukis gambar tersebut di belakang pelajar yang duduk di hadapannya. Cara itu diteruskan sehinggalah murid paling depan menerima lakaran dan melukisnya di atas kertas kosong. Ada kumpulan yang melukis jauh dari gambar asal. Contohnya dalam gambar adalah baldi, apabila murid terakhir melukisnya jadi kotak kasut pula, alamak..






Cara kamu duduk macam orang kecewa tiada untung jual ikan masin. Ini aktiviti kedua terakhir, subjek Bahasa Inggeris. Setiap kumpulan akan mencari barangan yang disenaraikan dalam masa yang paling cepat. Ada yang berebut-rebut mencari daun, sibuk mengumpul botol dan sanggup mengangkat batu besar. Aktiviti ini dimenangi oleh Kumpulan 1, sekaligus juara keseluruhan. Yalah sebab kamu ada Roderick dalam kumpulan tu. Lepas ni semua barang tu kamu jangan buang merata tempat, kalu cikgu nampak terus kurang markah kamu.

Casualty Simulation

Casualty Simulation adalah salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin bersama dengan St. John Ambulance negeri. Pada 27 Oktober 2009 bertempat di Dewan Harmoni, wakil daripada ST. John iaitu Mr. Ricci Eduardo telah didatangkan khas untuk memberikan simulasi penghasilan kesan luka yang betul, menjelaskan punca kemalangan dan kaedah rawatan segera yang diperlukan. Ada banyak kisah lucu dan pengalaman baru yang menarik untuk disaksikan. Mari kita sama-sama alami perjalanan sesi simulasi tersebut.


Sebelum memulakan apa-apa kena ada taklimat dahulu, nanti kamu buat ikut cara sendiri maknanya sendirilah kamu tanggung ok. Kelihatan Mr. Ricci sedang memberikan penerangan mengenai keadaan yang boleh mengakibatkan kemalangan, tindakan yang harus dilakukan dan rawatan selanjutnya. Cikgu Cath pula menterjemahnya bersungguh-sungguh, murid-murid semua kamu mesti tengok, siapa buat salah lepas ni cikgu suruh menari Sumazau depan tiang.




Wah, kenapa tangan dan kaki kamu boleh berdarah sendiri? Sebenarnya Hansell dan Lee Kok Chung telah dipilih sebagai model kepada teknik simulasi kecederaan yang pernah dialami oleh manusia. Nampak macam betul-betul luka, bila Lee pergi ke tandas satu sekolah kelam kabut tengok kesan luka dia. Semua orang risau, ingatkan kaki dia betul-betul tulang patah, hee..






Kenapa ni? mungkin Kak Yan mahu belasah Hajmain sebab tidak mandi. Bukanlah.. sebelum tu Cikgu Jesson telefon beritahu Kak Yan ada kecemasan, bila Kak Yan datang nampak luka tiruan di tangan Hansell terus dia melompat ketakutan. Terus Hajmain jadi mangsa, nasib Hajmain tak ikut menjerit tapi ketawa terbahak-bahak pula. Murid-murid semua, lain kali jangan main-main dengan Kak Yan ok, nanti keluar dia punya silat gayung, hee..



Inilah contoh hasil kerja terbaik daripada murid. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan memilih seorang model untuk membuat kesan luka. Kesan luka Razali adalah yang terbaik dan mendapat pujian daripada Mr. Ricci, macam betul-betul kesan kemalangan. Yang lain kamu buat macam kudis kena garu. Yang satu orang tu sudahlah seksi, berlakon lagi sakit dan minta telefon dengan bapa dia. Pandai kamu ya, nanti cikgu tambah kesan luka di ketiak.





Setelah selesai semua model bergambar bersama. Bila cikgu suruh buat muka kesakitan, terus berlakon macam tidak sempat pergi sudah hospital, yang lain tiada perasaan.. mungkin masih tidak faham kenapa buat kesan luka, alamak.. Dalam aktiviti ni kamu juga sudah belajar cara untuk bertindak dan bagaimana melakukan rawatan susulan. Tapi cikgu tahu kalau kamu tengok darah betul-betul kamu mesti terus pengsan, lepas pengsan baru menangis.

Jogathon 2009 anjuran SSD


Bertempat di Sabah Society for the Deaf (SSD), bersamaan 25 Oktober 2009 (Ahad) semua peserta berkumpul untuk memulakan larian. Sebelum itu, pihak Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin terlibat sama dalam mengedarkan kad pungutan derma beberapa bulan lalu, untuk membiayai kos pelancaran dan keperluan semasa larian tersebut. Kelihatan murid Pendidikan Khas bersama peserta lain sedang menunggu arahan untuk pelepasan. Terdapat beberapa kategori yang diperkenalkan dan wakil sekolah yang terdiri daripada pelajar asrama menyertai kategori 18 tahun ke bawah. Sekolah mempunyai beberapa wakil murid yang diharapkan menyinar, tapi kalau kedudukan kamu mengecewakan, bersedialah menerima denda kerja amal k.



Aik, kenapa tiba-tiba kamu bergambar time sudah berpeluh? Sebenarnya ini adalah gambar selepas larian. Maknanya gambar semasa larian tidak sempat diambil kerana jurugambar turut berlari dan sibuk mengambil rakaman. Bukan alasan ok, tapi kalau mahu mengetahui suasana semasa larian, silalah datang ke Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin untuk menyaksikan rakaman. Dalam gambar semua nampak penat, tapi ramai antara kamu bukan lari, berjalan saja. Ada yang pura-pura bila nampak kamera / videocam terus lari laju macam dikejar hantu.. Apapun tahniah kerana berjaya menghabiskan dua kali pusingan tasik di Kampung Nelayan tersebut.



Bila makan free siapa yang tak suka kan? tapi yang silapnya, kenapa makan depan tong sampah? aduh.. (Untuk pengetahuan semua, tong sampah telah dialihkan selepas gambar diambil) Cikgu ambil gambar kamu tapi kamu ada tolong ambil makanan untuk cikgu ka? yang satu orang tu macam tidak pandai putuskan mee yang panjang.










Inilah wajah pemenang dari SMK Datuk Peter Mojuntin. Adik V. Helmus mendapat tempat pertama untuk kategori lelaki 18 tahun ke bawah, manakala adik Daisy menduduki tempat kedua kategori yang sama untuk perempuan. Sementara Adik Siti Nadzirah dan Sozila pula mendapat hadiah utama untuk cabutan tiket bertuah. Banyak hadiah yang disampaikan, hampir semua peserta mendapatnya, terima kasih kepada pihak penganjur. Selain itu, minuman bertenaga dari MILO juga turut datang sebagai pembekal minuman, thank you.. Tengok, tak sia-sia kamu lari kan? dapat juga hadiah. Tahun depan lari lagi, mungkin boleh dapat hadiah peti sejuk, hee..




Sudah lari, ambil hadiah pun sudah sekarang buat apa? pulang lah.. mandi, ada macam-macam jenis bau. Tapi sebelum tu kita bergambar dulu depan SSD. Semua murid berdiri di belakang, satu orang tu pula suka-suka saja duduk di depan, nanti kena denda cabut rumput baru tau. Wah banyak hadiah kamu, kalau jual di kedai boleh beli 100 plus satu kotak. Lepas bergambar semua murid memungut sampah di kawasan sekeliling, siapa yang malas kamu pulang asrama jalan kaki.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Peringkat Negeri

Ini adalah 'Keluarga Contoh 2009'. Wah.. jangan suka-suka buat gosip ok. Ini bukan gambar kenangan keluarga tapi wakil Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin yang telah menyertai perkhemahan peringkat negeri di Pusat Latihan Binsuluk, Membakut bermula 22-23 Oktober 2009. Perkhemahan tersebut berjalan selama dua hari satu malam. Antara yang terlibat adalah:

Guru:
1) Cikgu Jesson Hintanau
2) Cikgu Ling Fong
Murid:
1) Max Nicholson Primus
2) Sozila Imos
3) Joepoldson John @ Jopinu
4) Lidia binti Kadim
5) Mohd Nidzam Adha bin Setin


Banyak aktiviti menyeronokkan berlangsung, mari kita sama-sama tengok..


Cantiknya kawasan pantai tapi kenapa ada banyak khemah? Sebab di sinilah tapak perkhemahan Peringkat Negeri. Program Pendidikan Khas sekolah lain dari seluruh pelusuk Sabah, datang ke tempat ini untuk terlibat sama menjayakan aktiviti yang telah dirancang. Setibanya kami di tempat ini, kami mendirikan khemah dan menunggu ketibaan sekolah lain sebelum aktiviti bermula.








Cuba anda teka apa yang Max sedang lakukan, minta angpow? bukan!!.. ini aktiviti pertama, 'Isi Air Laut Dalam Botol'. Aktiviti ini mungkin sudah seribu kali mereka lakukan tetapi seronok apabila dilaksanakan di tempat yang berbeza, rakan-rakan yang ramai dan suasana yang meriah.Tengok tangan dia yang besar tapi air masuk sikit saja.. siapa menang boleh mandi laut, NO!!.. kalau lemas nanti cikgu yang susah.








Kenapa macam Sozila seorang saja yang bawa kelapa? Kumpulan lain kelapa dorang lambat sampai, tapi cikgu hairan kenapa last sekali kumpulan lain yang menang? entahla.. Ini aktiviti 'Menggendong Kelapa'. Semua murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan, selain dapat mengenali rakan baru mereka turut merasai pengalaman bersama murid berlainan kategori seperti bermasalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan.









Joepoldson, kamu mesti hati-hati bawa bola, kalau jatuh kamu kena mula balik. Aktiviti ketiga, 'Timang Bola Ping Pong dalam Sudu'. Walaupun masa ni sangat panas tapi semua seronok mengikuti aktiviti. Sambil bawa sudu mesti renung tajam-tajam pada bola tu, kalau cuai sikit nanti jatuh. Masa ni ada yang jalan terlalu perlahan, ada juga yang menjerit-jerit suruh cepat tapi bila sampai giliran dorang lagi lambat.








Pada sebelah malam, semua kumpulan menjalankan aktiviti 'Malam Kebudayaan'. Sebelum itu, semua kumpulan melakukan latihan pada sebelah petang dengan bimbingan daripada guru kumpulan masing-masing. Ada yang berlakon, menari dan menyanyi. Kelihatan Max dan Sozila sedang menari Sumazau sambil rakan yang lain menyanyikan lagu Sayang Kinabalu. Persembahan ini mendapat pujian kerana koreografinya yang cantik, tahniah..







Selepas malam kebudayaan, aktiviti diteruskan dengan 'Kembara Malam'. Semua murid mesti berjalan dalam barisan dengan mata yang tertutup. Semasa perjalanan, guru-guru memberitahu rintangan yang berada di depan seperti sungai, tahi lembu, pokok tumbang dan parit. Namun gambar yang diambil sangat kabur, maka tidak dapat dimasukkan sekali, minta maaf banyak-banyak ya.



Kamu angkat tangan kenapa? mau tahan bulan jatuh? entah sebelum bulan sampai tsunami sudah datang dari belakang, hee.. Awal pagi hari kedua, semua turun ke pantai untuk senam aerobik. Ada yang masih mengantuk tapi terus segar bila kena suruh menari, melompat dan menyanyi. Cikgu tahu, antara kamu semua ni masih ada yang belum berus gigi kan? patutlah macam-macam bau masa ni..








Lepas senam aerobik kami ke kantin untuk bersarapan. Cikgu belanja tapi makan mee dan air milo saja k, kalau mahu tambah atau makan lain kamu bayar sendiri. Makan banyak-banyak sebab lepas ni kita ada aktiviti 'Jungle Tracking'. Orang yang ambil gambar ni kena belajar lagi, mana boleh dia ambil gambar masa orang tengah tutup mata, markah 2 saja cikgu beri.









Sebenarnya kamu semua hanya akan meredah kawasan hutan biasa saja. Bila cikgu beritahu ada sungai yang dalam, ramai yang takut dan mahu balik. Semua murid berjalan mengikut kumpulan masing-masing, di bawah jagaan guru pengiring. Perjalanan ini turut meredah kawasan tepi pantai, nasib tiada yang nakal, kalau nakal juga nanti cikgu ikat di atas pokok. Selepas sampai di tapak perkhemahan, semua bersiap sedia untuk upacara penutupan.








Kami bergambar kenangan selepas majlis penutupan. Adik Lidia telah mendapat Anugerah Kadet Terbaik kategori Wanita. Bukan senang kamu dapat tempat pertama tu, sebab kena bersaing dengan beberapa wakil dari sekolah lain seluruh Sabah, tahniah.. Walaupun hanya 2 hari 1 malam tapi banyak pengalaman yang kami lalui disini. Sayang semua wakil SMK Datuk Peter Mojuntin adalah dari Ting. 3, tahun depan kamu tak boleh ikut lagi. Keesokan harinya Max, Joepoldson dan Nidzam Adha terlibat pula dengan Perkhemahan Pengakap Peringkat Negeri, kesian kamu terus penat..

Lawatan Sambil Belajar di Politeknik Sepanggar

Memandangkan semua murid SMK Datuk Peter Mojuntin akan melanjutkan pembelajaran ke Sekolah Vokasional untuk tingkatan 4 dan 5, mereka juga harus mengetahui ke mana arah tuju mereka selepas itu. Dan Politeknik Sepanggar adalah salah satu pilihan terbaik kerana turut menawarkan peluang melanjutkan pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi, sesuai dengan alam pekerjaan. Mari kita tengok apa yang akan diperolehi dan dilalui oleh pelajar di tempat ini kelak.


Setibanya kami di sini, peluang untuk bergambar tidak disia-siakan. Bukannya ketagih bergambar tetapi sebagai kenangan dan juga laporan. Mula-mula orang lain tengok rasa pelik sebab semua murid memakai pakaian sekolah, guru-guru dan PPM pula macam ahli korporat tapi selepas itu semuanya ok. Kenapa murid lelaki nampak ramai? sebab 5 orang murid perempuan pergi ke Keningau untuk latihan bola jaring, dan memang murid lelaki lebih ramai berbanding perempuan.








Ini adalah tempat pertama yang dilawat iaitu Perpustakaan Politeknik, serba lengkap dan sejuk. Bila murid tengok buku-buku, semua tak faham. Belum sampai masanya kamu belajar itu semua, kena lulus PMR kemudian sambung ke Sekolah Vokasional. Kelihatan Cikgu Piluh sedang menyampaikan maklumat yang diberikan oleh Ketua Pengawas Perpustakaan, murid-murid yang lain kamu tengok saja, jangan senyum-senyum dan jangan menguap.







Kenapa kamu semua tengok dorang buat kuih, mau beli atau bagi markah? Mereka berdua ini bukannya suami isteri tetapi salah satu daripada 5 orang pelajar Pekak yang melanjutkan pelajaran di Politeknik Sepanggar. Dan ketika ini adalah kelas Katering, iaitu penyediaan kuih/biskut. Pelajar wanita itu adalah Diana, kakak kepada Daisy iaitu murid Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin, tapi Daisy pergi Keningau masa ni, rugi..








Kamu semua tengok kura-kura main bola? Oh, sebenarnya itu gelanggang mini bola sepak dan pemainnya adalah robot-robot kecil berbentuk segiempat. Robot-robot tersebut dikawal oleh komputer yang dikendalikan oleh pelajar. Dorang ada buat simulasi tapi kami tengok macam tak faham, mungkin sebab ada robot yang rosak. Pensyarah di situ memaklumkan kosnya mencecah angka ribu, wah boleh beli banyak handphone tu..








Yang ni pula adalah Bengkel Turbo/Mesin. Macam-macam jenis kenderaan yang kami tengok, tapi tak pernah nampak di jalan raya. Sebab mereka di sini menghasilkan kenderaan secara inovatif ataupun serba guna. Dan kami semua sedang melihat antara peralatan yang digunakan. Bengkel ni sunyi saja, sebab pelajar baru habis kelas. Murid-murid semua cukuplah tengok tu, kita ada banyak lagi tempat mau lawat.








Ok, sekarang kita tengok cara patahkan tulang, bukanlah.. itu mesin untuk bengkokkan batang paip besi. Semua tengok dengan mulut ternganga, nanti lalat masuk cikgu tak mau tanggungjawab. Ya Lidia, memang kerja ni bahaya jadi jangan masukkan tangan tu dalam mesin kemudian bengkokkan. Yang lain tengok tapi sembunyi-sembunyi, memang takut.. contohnya Kakak Laila, hee..







Wah, kamu semua nampak memang berminat. Ini pula pensyarah sedang tunjukkan cara untuk membuat benang/urat pada paip besi. Siapa yang nampak dia macam sedang goreng ikan, memang mata kamu kena tukar. Mesti hati-hati buat kerja ni, nanti kena jari terus jadi cincin. Lepas buat benang, senang mau sambung dengan paip jenis lain. Ok siapa mahu cuba? cikgu tolong gambar kalau kamu luka, hehe..

Cantik gambar kamu, siapa jurugambar? hee.. Semua bengkel yang di lawat tadi adalah dalam Jabatan Kejuruteraan Awam. Kemungkinan di masa akan datang kursus untuk bahagian ini diperkenalkan kepada pelajar pendidikan khas. Jadi kamu semua mesti berusaha sungguh-sungguh untuk menyambung pelajaran di sini. Kamu tidak rasa panas ka? tidak apa sebab yang lain sudah sedia hitam, hee.. Aik, kenapa ada satu orang datin di belakang tu? heloo aunty salah tempat nih..

Pertandingan Paintball


Kamu mahu jadi Power Ranger? tunggu habis belajar dulu. Sebenarnya ini adalah pakaian lengkap untuk permainan Paintball. Pertandingan ini diadakan di Paintball Donggongon Area 21 pada 20 Oktober 2009. Sebelumnya iaitu pada 16 Oktober, Mr.Andrew iaitu pemilik dan koordinator tempat ini telah datang ke sekolah untuk memberikan ceramah mengenai teknik dan peraturan permainan Paintball. Dalam gambar tu adalah Group 2 yang diketuai oleh Joepoldson (kiri sekali). Bah sedialah kamu, tembak musuh bukan kawan sendiri ok.


Inilah suasana pertandingan tersebut. Semua murid baru mengenali permainan ini, jadi langsung tiada pengalaman. Nampak macam ada gaya tapi musuh depan mata, sepuluh kali tembak pun tak kena, alamak.. Ada juga yang sampai habis permainan, kerja dorang sembunyi saja bukan mau tembak, aduh..









Kamu ni macam satu keluarga, dari kampung mana tidak tau, hee.. Ni gambar dua pasukan terakhir dan paling hebat..:), masing-masing ada penyokong kuat. Kedua-dua kumpulan disertai dua orang guru, kamu ingat murid saja main? cikgu pun mau juga bah..










Dia ni mesti nampak kerbau terus mau tembak pakai senapang. Aremiah mungkin sedang mencari sasaran, tapi kalau kamu tembak cikgu nanti kena denda. Ada gaya macam askar, lepas ni kamu ikut Kadet Tentera ok. Peluru yang kami pakai macam biji guli getah, tapi kalau kena badan pedih juga rasa. Jadi kena hati-hati, jangan sampai ditembak musuh.








Apabila rakan-rakan sudah bermain, kumpulan lain mengambil peluang untuk merancang strategi. Tengoklah mereka semakin pandai sembunyi dan menanti musuh keluar untuk ditembak. Ada juga yang tidak sabar-sabar sehingga berani masuk ke kawasan musuh. Bahaya tapi nasib bukan senapang betul-betul. Yang berdiri tegak itu adalah komander permainan, siapa yang kena tembak dia arahkan untuk keluar.







Kira-kira jam 12 tengahari aktiviti pertandingan Paintball tamat, semua puas dapat bermain kali pertama. Kamu boleh datang lain masa tapi bayar sendiri ok. Duduk di tengah baju warna oren adalah Mr. Andrew yang bertanggungjawab memperkenalkan permainan ini kepada semua murid Pendidikan Khas SMK Datuk Peter Mojuntin. Terima kasih juga kerana memberikan makanan ringan sambil kita semua menyaksikan pertandingan dijalankan. Pengalaman ini tidak sia-sia kerana pelajar berpeluang bermain Painball, sekali lagi di Negeri Sembilan ketika Perkhemahan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2009.
 
/* butterfly cursor ----------------------------------------------- */ Monarch Butterfly 2 /* bee ----------------------------------------------- */